Didalam sebuah hadis rasulullah saw pernah menjelaskan tentang kepentingan hati:
Sesungguhnya didalam diri anak adam itu ada seketul daging jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh badan iaitu hati.
Hati manusia itu terbahagi kepada tiga bahagian:
1. HATI YANG SIHAT
Iaitu hati yang bersih dan sejahtera bila bertemu Allah seperti mana firman Allah:
" يوم لا ينفع مال ولا بنون الا من أتى الله بقلب سليم"
Maksudnya: Pada hari yang tiada manfaat harta benda dan anak-anak kecuali orang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.
Hati yang sejahtera bermaksud hati yang selamat daripada mengikut nafsu yang bercanggah dengan perintah dan larangan Allah, menjauhkan Syubhat-syubhat dan melaksanakan ibadat hanya kepada Allah semata-mata.Mukmin yang bersih hati akan membulatkan ubudiyyahnya kepada Allah dari aspek keinginan,kecintaan,penyerahan diri, ketundukan,ketakutan dan pengharapan serta keikhlasan amal hanya semata-mata kerana Allah.
Jika dia cinta, kecintaannya semata-mata kerana Allah, benci kerana Allah,memberi kerana Allah, menegah kerana Allah dan tidak cukup dengan itu dia tunduk dan bertahkim hanya kepada Allah Taala, mengikat hati untuk mengikut rasul sama ada perkataan atau perbuatan.
2. HATI YANG MATI
Hati ini tiada kehidupan didalamnya, tidak kenal Allah,tidak menyembah dan taat akan perintah dan larangan Allah tetapi sebaliknya dia tunduk dan patuh kepada shahwat dan kelazatan meskipun ia terdedah kepada kemurkaan Allah.Dia tidak memperdulikan kemurkaan tuhan asal saja shahwatnya dituruti dan dipenuhi,dia menumpukan kecintaan,takut,harap, reda, marah, ketundukan dan pengagungan kepada selain Allah.
Andainya dia mencintai sesuatu, kecintaannya hanya kerana nafsu,marah kerana nafsu,menghalang dan memberi kerana nafsu ,pendek kata semua yang dilakukan hanya berfokus ke arah memuaskan nafsu. Nafsunya jadi ketua, shahwatnya jadi pemimpinnya,kejahilan pemandunya, kelalaian kenderaannya dan dia sentiasa berfikir untuk mencapai tujuan keduniaannya,.sentiasa mabuk dengan hawa nafsu, tidak menerima nasihat, hanya nasihat syaitan didengarnya.Nafsu memekakkannya dari kebenaran.Maka bercampur dengan orang seumpama ini satu penyakit, bergaul dengannya adalah racun berbisa, duduk bersamanya satu kebinasaan.
3. HATI YANG SAKIT
Hati ini mempunyai tanda hidup dan tanda penyakit.Di dalamnya terdapat kecintaan kepada Allah , beriman, ikhlas dan tawakkal ini tanda-tanda hidupnya. Ada juga pada sesetengah keadaan hati ini dihinggapi penyakit kecintaan kepada syahwat, berusaha ke arah memenuhi kehendak shahwat, terdapat sifat hasad, ujub, takabbur, ingin populariti dan kepimpinan , melakukan kerosakan dan sebagainya.
Dia diuji dengan dua dorongan; dorongan yang menarik ke jalan Allah dan dorongan yang menolak kearah keduniaan.Malangnya dia lebih tertarik kepada yang hampir kepada dirinya iaitu keduniaan. Hati yang seumpama ini masih boleh diperbaiki dan dibentuk untuk menjurus kearah yang baik . Ini memerlukan kesungguhan pengidapnya seperti orang yang menghadapi sakit fizikal.Mudah-mudahan kita dikurniakan oleh Allah hati yang bersih.Marilah kita berusaha menggilap hati kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan