1. Muqaddimah
Kisah keimanan Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud merupakan di antara tauladan yang wajar diamati tatkala membincangkan soal Aqidah, Tauhid, Syahadah dan hal-hal lain berkaitan.
"Ashabul Kahfi adalah merupakan segolongan pemuda yang beriman dengan Allah SWT. Mereka berpegang dengan Aqidah yang betul bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Iltizam dan kuatnya pegangan mereka terbukti apabila mereka dihadapkan kepada raja mereka yang zalim. Demi mempertahankan Aqidah yang suci ini, mereka terpaksa menyembunyikan diri mereka ke dalam gua. Lari bukan kerana takut, tetapi demi Aqidah yang ingin dipertahankan."
"Kisah Ashabul Ukhdud pula menceritakan tentang segolongan pembesar negeri yang kejam terhadap orang-orang yang beriman kepada Allah. Mereka menggali parit dan menyalakan api sehingga seluruh parit marak dengan api. Mereka melakukan pembunuhan kejam terhadap orang-orang yang beriman dengan mencampakkan mereka ke dalam api dan menyaksikan pembunuhan itu dari satu peringkat ke peringkat yang lain. Orang-orang beriman yang dibakar itu tidak melakukan apa-apa dosa kepada mereka kecuali beriman kepada Allah SWT."
2. Pengertian Aqidah
Bahasa : Lafaz Aqidah berasal daripada kalimah (عقد- يعقد- عقيدة) yang bermaksud ikatan/simpulan atau janji yang kuat. Diumpamakan tali yang ada ikatan atau simpulan memudahkan tangan berpaut. Menakala bagi haiwan, ia ibarat kandang atau tali yang mengawal kehidupan haiwan agar hidup dalam keadaan aman. Haiwan yang buas tidak akan jinak tanpa ikatan dan pasti ia akan membawa masalah kepada hidupan yang lain. Begitu juga dengan manusia, mereka memerlukan ikatan yang dapat menjamin keharmonian manusia di duna dan akhirat.
Istilah : Aqidah ialah kepercayaan dan keimanan yang kuat kepada Allah yang tidak akan terurai dan terputus dalam apa jua keadaan. Juga membawa erti bersungguh-sungguh dan berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah dan melaksanakannya di dalam kehidupan.
"Tidak ada paksaan di dalam (memeluk) agama (Islam). Kerana sesungguhnya telah jelas kebenaran (Islam) daripada kesesatan (Kufur). Oleh itu, barangsiapa yang engkar kepada Tohghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah ber[egang teguh kepada simpulan (tali Allah) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan ingatlah bahawa Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(al-Baqarah : 256)
3. Konsep Tauhid
Asas kepda Aqidah ialah tauhid kepada Allah. Tauhid dalam Islam adalah intipati dari Islam itu sendiri.
Bahasa : Mengesakan Allah
Istilah : Beri'tikad, percaya dan yakin bahawa Allah itu Tuhn yang Esa dan tiada sekutu bagi-Nya.
Secara ringkas : Orang yang mentauhidkan Allah ialah mereka yang meyakini bahawa Allah adalah satu-satunya yang mencipta alam dan mempunyai segala sifat-sifat dan nama-nama yang maha sempurna dan Dia sahaja yang layak disembah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad), Allah Tuhan yang Maha Esa, Tuhan tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak an tidak diperanakkan dan tidak ada yang setara dengan-Nya."
(Al-Ikhlas: 1-4)
Tauhid terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:
a. Tauhid Rububiyyah
Tauhid Rububiyah ialah beri’tiqad atau mengaku bahawa Allah swt yang Esa sahaja pencipta sekelian makhluk dan alam ini. Dia memiliki segala makhluk, menghidup dan mematikan sesuatu, memberi mudharat dan manfaat kepada sesuatu. Dia berkuasa memberi rezeki, mentadbir sekelian makhluk dan alam sama ada yang di langit dan di bumi.
Tauhid Rububiyah ini diiktiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Islam atau seorang kafir, kecuali golongan mulhid (atheis) yang tidak percaya adanya Tuhan. Kerana itu kalau seeorang itu hanya mengakui dan beriman dengan tauhid rububiyah sahaja tidak disertakan dengan tauhid yang lain, dia tidak boleh dianggap Islam. Untuk menjadi Islam, seseorang itu mestilah mengakui juga tauhid uluhiyah dan tauhid asma’wa sifat bersama tauhid rububiyah.
Orang kafir termasuk kafir musyrikin di zaman Rasulullah saw dan sebelumnya seperti Abu Lahab dan lain-lain pengikut mengaku dengan tauhid ini. Firman Allah yang bermaksud:
"Tanyakanlah (Wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah yang ada pada bumi ini dan segala yang ada padanya?" Kalau kamu mengetahui. Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah ". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu berfikir (dan insaf)?"
(al-Mukminun : 84-85)
b. Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Uluhiyah yang iuga dipangil tauhid ibadat ialah mengi’tiqad dan beriman bahawa Allah swt sahaja yang layak disembah dengan sebenar dan tidak boleh menyekutui-Nya dengan sesuatu.
Dia sahaja yang berhak disembah, dikasihi dan ditaati, kepada-Nya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan doa. Allah SWT sahaja yang mempunyai kekuasaan dan pemerintahan. Firman Allah swt ;
"Hanya pada-Mu kami sembah dan hanya pada-Mu kami memohon pertolongan."
(al-Fatihah :4)
Kerana itu tidak boleh seseorang itu menyembah atau memuja bulan, bintang, matahari, patung berhala, batu, pokok, kubur atau isme-isme (Fahaman-fahaman ciptaan manusia seperti kapitalisme,sosialisme, komunisme, liberalisme, nationalisme, feudalisme dsb). Juga tidak boleh menyembah para nabi, wali, malaikat dan lain-lain lagi. Jika seseorang itu menyembah dan memuja perkara lain, maka perkara itu adalah Tuhannya .Jika ini berlaku perbuatan tersebut menyebabkan berlakunya syirik kerana rosaknya pada tauhid uluhiyah.
Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyah, maka secara automatik dia beriman denga tauhid rububiyah dan tauhid asma’ wa sifat. Ini kerana tauhid uluhiyah mengandungi di bawahnya tauhid-tauhid lain dan tidak sebaliknya. Sebab itu seseorang yang hanya beriman dengan tauhid rububiyah sahaja tidak semestinya dia beriman dengan tauhid uluhiyah. Ada dari mereka (orang kafir) yang beriman dengan tauhid rububiyah; mereka menyembah dan memuja patung-patung, berhala-berhala, bulan, bintang dan seumpamanya tetapi mereka tidak mentaati Allah SWT.
c. Tauhid Asma' wa Sifat
Tauhid asma’ wa sifat ialah mengi’tiqad dan mengaku bahawa Allah swt bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan Allah SWT mempunyai 99 nama yang layak dengan kebesaran-Nya.
Segala nama dan sifat-sifat Allah tidak menyerupai dengan nama-nama dan sifat-sifat makhluk; ilmu Allah SWT tidak sama dengan ilmu manusia, kudrat Allah SWT berbeza dengan kudrat makhluk dan lain-lain. Firman Allah SWT:
"… Dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat."
(ash-Syura: 11)
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (mulia). Oleh itu serukanlah (berdoa) kepadanya dan juga menyebut nama-nama itu. Dan pulaukanlah mereka yang telah berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan dari segala apa yang mereka telah kerjakan."
( al-A’raf: 180 )
Untuk membetulkan tauhid ini seseorang Muslim mestilah mengisbatkan nama dan sifat-sifat Allah swt sebagaimana yang diisbatkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadis dan menafikan semua yang berlawanan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah swt dan Rasul.
Imam Ahmad b Hanbal berkata : ‘Jangan sifatkan Allah swt kecuali dengan apa yang disifatkan oleh Allah swt dan Rasul-Nya dan jangan melebihi apa yang disebut oleh Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw."
4. Konsep Syahadah
Syahadah bererti pengetahuan, penerangan, perkhabaran, dan pernyataan. Sebab itu seseorang yang bersyahadah dipanggil bersaksi, kerana dia mengkhabarkan atau memberitahu apa yang dii’tiqadkan olehnya. Kalimah syahadah mengandungi ‘Iqrar’(اقرار ), I’tirafاعتراف)), I’tiqad ( اعتقاد) : iaitu pengakuan, pengi’tirafan, dan kepercayaan.
Pembahagian kalimah syahadah (Nafi dan Isbat):
* kalimahلا اله) ) beerti “ tiada Tuhan “ merupakan pengakuan keimanan beserta penafian behawa tiada sesuatu yag layak disembah kecuali Allah
* kalimah (الا الله ( beerti ‘ melainkan Allah’ mengandungi penegasan dan pengecualian atau ‘ithbat” dengan menolak Tuhan selain Allah dan menegaskan keEsaan Allah.
Syahadatain merupakan pintu masuk kepada Islam dan asas terpenting tertegakya Islam. Islam tidak tertegak jika tidak dilaksanakan rukunnya yang 5 dan segala rukun itu tertegak jika idak sempurna Syahadatain bahkan tidak ada Islam sebelum Syahadatain. Syahadatain adalah jiwa bagi Islam seumpama nyawa sebagai nadi kepada badan. Setiap anggota badan manusia tidak berperanan sebagai manusia hidup tanpa nyawa. Begitulah Syahadatain yang meruapakan nyawa bag setiap bahagian Islam. Amalan atau ibadat orang Islam yang tidak kerana-Nya ibarat menanam benih yang mati. Olehitu, amalan kebajikan orang kafir tiada harga di sisi Allah kerana ia dianggap bangkai. Orang Islam amalannya solah kerana kebajikannya banyak, sekiranya tiada roh Syahadatain adalah tidak diterima oleh Allah SWT.
Mengucap Syahadatain merupakan syarat dilakukan hukum dunia berhubung dengan seseorang Muslim seperti perkahwinan, berimamkan solat, disembahyangkan bila mati dan juga ditanam di perkuburan Islam selama seseorang itu tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan iman.
Seseorang yang melafazkan Syahadatain kerana uzur seperti bisu, atau mati setelah beriman tetapi tidak sempat mengucapkan syahadatain, maka dia adalah tetap mukmin. Sebaliknya bagi orang yang mampu dan mempunyai masa mengucapkannya tetapi enggan dan keenggannya itu kerana engkar, maka dia adalah kafir. Soal hatinya bukan urusan kita, kalau hatinya membenarkan Islam dan segala hukumnya, maka mengikut Qaul Rajeh, dia beriman di sis Allah tetapi tidak boleh dilakukan mu'amalah ke atasnya sebagai Muslim kerana tidak diketahui imannya. Sesungguhnya disebut di atas ialah kepada orang-orang yang mahu menganut Islam. Orang yang dilahirkan Islam, ia dianggap Muslim selagimana tidakmelakukan perkara-perkara yang membatalkan iman.
5. Pengertian Ilah
Perkataan Ilah membawa beberapa pengertian yang saling melengkapi iaitu:
1) Ilah sebagai Tempat Tumpuan dan Matlamat Pengabdian
Pengertian Ilah sebagai tempat tumpuan dan matlamat pengabdian ialah seseorang muslim itu mestilah membentuk hidupnya agar sentiasa berada di dalam Ubudiah kepada Allah. Segala nikmat di dalam hidupnya adalah ditujukan untuk mentaati Allah. Dengan ini beerti bahawa seseorang muslim itu mestilah menolak segala perkhidmatan yang bertentangan dengan kehendak Allah. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, rukuk dan sujudlah (solat) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya). Serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)."
(al-Hajj : 77)
2) Ilah sebagai Tempat Perlindungan
Dengan syahadah, seseorang muslim itu meyakini bahawa tiada siapa pun yang mampu memberi perlindungan selain daripada Allah, segala perlindungan yang diberikan oleh mana-mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung kepada keizinan Allah. Allah bebas menarik keizinannya bila-bila masa yang dikehendakinya.
Firman Allah:
"Katakanlah wahai Muhammad: "Aku berlindung kapada Tuhan pemelihara sekelian manusia, Tuhan yang mentadbir sekelian manusia, Tuhan yang disembah oleh sekelian manusia."
(an-Nass: 1-3)
3) Ilah sebagai Tumpuan Kecintaan
Pengertian yang terkandung di dalam kalimah syahadah juga menuntut bahawa Allah adalah tumpuan kecintaan yang wajib dizahirkan melebihi segala-galanya. Kasih sayang dan cinta sesama manusia hendaklah diasaskan kepada kecintaan kepada Allah. Firman Allah:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara mara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu kamum keluarga dan harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan rosak, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah, Rasul-Nya dan berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan (azab seksaan-Nya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang Fasiq."
(at-Taubah : 24)
4) Ilah sebagai Pemberi Rezeki
Disini syahadah menjelaskan satu hakikat yang nyata, iaitu Allah sahajalah yang memberi rezeki. Makhluk hanyalah sebagai pembawa dan penyampai-Nya sahaja; bukan pemberi rezeki dan tidak berupaya untuk menambah atau menguranginya. Firman Allah SWT di dalam kitab-Nya;
"Wahai manusia, kenagkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu, tidak ada sama sekali yang menjadikan sesuatu selain daripada Allah, ia memberi rezki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (daripada menyembah-Nya)?
(Fatir : 3)
5) Ilah sebagai Sumber Perundangan
Pengertian Ilah juga mengandungi maksud Allah sebagai tempat rujukan dalam menentukan hukum. Allah sahaja yang berhak untuk menentukan undang-undang. Kekuasaan ini adalah mutlak dan tidak boleh dibahagi-bahagikan. Firman Allah:
(al-Maidah: 44)
6. Tuntutan Syahadah
Apabila seseorang insane telah mengucapkan Syahadatain, maka tertanggunglah ke atasnya beberapa tanggungjawab sebagai membuktikan ikrar penyaksiannya terhadap ketuhanan Allah dan kerasulan Muhammad SAW. Disimpulkan bahawa tuntutan Syahadatain ialah mengikut segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya (Imtisalu Awamirihi Wajtinabu Nawahih).
Melaksanakan semua rukun Islam
Berintima' (menggabungkan diri) dengan Islam dari sudut Aqidah, Akhlak, keluarga dan ibadah.
Berintima' dengan jemah Islam
Menegakkan pemerintahan Islam (Daulah Islamiah) yang mengagungkan hukum Syara'.
Melaksanakan Amar Ma'ruf Wan Nahyu 'Anil Munkar
Berusaha membentuk Khilafah Islamiah.
7. Antara Perkara Yang Membatalkan Syahadah
Bertawakkal dan bergantung selain kepada Allah.
Mengingkari nikmat kurniaan Allah
Bekerja dan beramakerana l selain daripada Allah
Mencipta undang-undang sendiri di luar kehendak dan ketentuan Allah SWT.
Taat kepada selain daripada Allah kecuali kepada sesiapa yang telah diperintahkan oleh syara' supaya taat kepadanya (Imam)
Menjalankan hukuman selain daripada hokum Allah.
Benci dan menentang semua atau salah satu daripada ajaran Islam.
Mencintai dunia mengatasi akhirat.
Menghina al-Qur'an dan as-Sunnah serta Ulama' yang menegakkannya atau mempersendakan hokum Allah atau Syi'ar Islam.
Menghalalkan yang haram oleh Allah dan sebaliknya.
Tidak beriman dengan al-Qur'an dan as-Sunnah atau hukum yang bersumber dengannya.
Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin tertinggi serta tidak menyintai orang mukmin.
Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah SAW.
Mengingkari sifat-sifat ketuhanan Allah dan nama-nama-Nya.
Menafikan kerasulan Rasulullah SAW dan ajarannya serta menghina sifat-sifat mulia baginda. Malah tidak mengiktikad baginda sebagai role-model (Contoh ikutan).
Mengkairkan orang mukmin serta tidak mengkafirkan orang yang jelas kafirnya dan tidak menghalakan perangke atas mereka.
Melakukan upacara ibadah di luar dari batas Syara'
8. Kesimpulan
Sesiapa yang berpegang kepada Aqidah Tauhid membentuk kehidupannya menurut tuntutan-tuntutannya, maka selamatlah hidupnya di dunia dan akhirat. Inilah jaminan yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW dan termaktub di dalam kitab Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan