Sabtu, 5 September 2009

Jauhilah sifat dengki


Di antara pengajaran dan hikmah daripada puasa ialah merasai penderitaan orang-orang faqir dan miskin yang kadang-kadang sampai ke peringkat tidak mempunyai makanan untuk dimakan dan minuman untuk diminum.Puasa mendidik kita supaya tidak mengabaikan golongan ini. Mereka seharusnya diberikan perhatian sewajarnya.Puasa kita tidak akan memberi kesan apa-apa jika kita tidak boleh menghayati sifat ini.Orang-orang yang memiliki kekayaan seharusnya bersifat dermawan khususnya pada bulan Ramadan.Rasulullah saw pada bulan Ramadan bersifat pemurah lebih dari angin yang bertiup.Pernah satu ketika seorang meminta kepada nabi pakaian yang baru dipakainya lalu Rasulullah memberikannya pakaian itu.Seorang Badwi meminta kepada nabi seekor kambing ,maka nabi memberi lebih daripada itu. Sifat pemurah dibulan Ramadan akan dapat menyuburkan sifat kasih sayang dan menghubungkan silaturrahim .
Daripada puasa Ramadan ini, Orang mukmin dididik supaya bersifat penyayang dan menghargai orang lain dan tidak bersifat zalim kepada mereka,tidak menyusahkan orang lain serta tidak ada hasad dengki kepada saudara mereka.
Orang mukmin sentiasa berlapang dada,tidak ada hasad dengki kepada orang lain.Inilah buah dan hasil kasih sayang paling minima sekali yang dipupuk pada bulan yang mulia ini.Sesungguhnya cahaya iman yang bersinar di dalam dadanya mempunyai kekuatan yang akan menghapuskan kegelapan hasad dengki sesama sendiri yang menyebabkan orang mukmin pada waktu pagi dan petang sentiasa berlapang dada dan bersih hatinya. Mereka berdoa kepada Allah :
(Ya tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami di dalam beriman dan jangan jadikan didalam hati kami ada sifat dengki kepada orang yang beriman )
Surah al-hasyr ayat 10
Orang mukmin tiada sifat hasad kerana mengingatkan kepada pesanan nabi bahawa sifat hasad adalah penyakit umat terdahulu,penyakit kerohanian yang akan membinasakan rohani seseorang sama sebagai wabak yang akan membinasakan jasad manusia.Bahkan hasad juga sebenarnya penyakit yang akan memberi kesan kepada jasad iaitu tubuh badan akan menjadi lemah dan tidak bersemangat ,meningkatkan tekanan darah dan menghilangkan seri wajah seseorang. Orang mukmin tidak akan hasad kerana mereka merasa gembira apabila saudara mereka mendapat nikmat dan merasa sedih apabila saudara mereka mendapat kesusahan .Orang yang hasad menunjukkan bahawa mereka tidak redha kepada taqdir Allah dan pembahagian rezeki oleh Allah yang maha adil sedangkan segala ketentuan Allah pasti ada hikmat yang tersurat dan tersirat.Ini mesti kita yakini dan sifat inilah yang tidak ada di dalam diri orang hasad.

Ibnu Sirin ketika ditanya bagaimana untuk menghilangkan sifat hasad katanya; Aku tidak hasad kepada seseorang kerana jika dia termasuk ahli syurga ,bagaimana aku nak hasad dengki kepada orang yang memiliki dunia yang nikmatnya begitu kecil berbanding nikmat syurga yang akan dicapainya. Dan jika dia adalah ahli neraka bagaimana aku nak dengki kepada dunia mereka yang melimpah sedangkan dia akan terjerumus ke dalam neraka diakhirat nanti.
Di dalam hadis nabi menyatakan : Akan dibentangkan amalan manusia pada setiap hari Isnin dan Khamis ,Maka Allah akan mengampunkan dosa-dosa orang yang tidak mensyirikkan Allah dan tidak ada permusuhan seseorang dengan saudaranya yang lain ,maka Allah berfirman : Biarkan dua orang ini sehinggalah mereka berdamai
( Hadis riwayat Muslim)

Mudah-mudahan di bulan Ramadan , Syawal dan bulan-bulan seterusnya,, kita akan sentiasa menjalinkan hubungan ukhuwwah yang telah disuburkan di bulan Ramadan ini.Mudah-mudahan kita diredai Allah dan dikurniakan keampunannya senentiasa…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan