Rabu, 26 Ogos 2009

Jauhi adu domba

Hari kita berpuasa hari ke 6.Ustaz akan bercerita lagi tentang sifat mazmumah yang perlu kita jauhi untuk menjaga puasa kita.iaitu sifat mengadu domba.
Mengadu domba bermaksud menceritakan perkataan buruk seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk menimbulkan permusuhan dan kemarahan diantara kedua-duanya. Mengadu domba adalah termasuk perkara yang diharamkan oleh Allah kerana sifat ini akan mengakibatkan timbulnya fitnah didalam masyarakat,terputus hubungan silaturrahim,menanamkan kedengkian dalam hati,memecahkan jemaah dan ianya menjadikan teman bertukar menjadi musuh manakala saudara akan bertukar menjadi asing kerana perkelahian tersebut.
Pengadu domba ibarat seperti lalat yang membawa kuman-kuman penyakit lalu memindahkan penyakit berbahaya kepada manusia. Mengadu domba ini boleh berlaku dalam bentuk perkataan, penulisan,simbol atau isyarat.Sepatutnya perkara buruk yang didengar dari orang lain kita sembunyikan kecuali dengan mendedahkannya kepada orang lain akan membawa kebaikan kepada umat Islam atau menolak kemudharatan dan maksiat.
Adapun hukum mengadu domba ini adalah haram dan termasuk dosa-dosa besar di dalam Islam.Ini bersandarkan kepada nas berikut:
1. firman Allah : Surah Al-Qalam (68- ayat 10-11)
Maksudnya: Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang bersumpah lagi yang hina.Yang suka mencaci lagi suka menyebarkan fitnah hasutan(untuk memecahbelahkan orang ramai)
2. Hadis Rasulullah: Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba (riwayat Al-Bukhari)
3. Hadis Rasulullah: Bila nabi berjalan dengan sahabatnya melalui dua kubur Nabi menyatakan kepada sahabat : Mahukah kamu aku khabarkan kedua-duanya diazab bukan kerana perkara besar(pada tanggapan keduanya) salah seorangnya suka mengadu domba dan seorang lagi tidak membersihkan kencingnya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4. Nabi bersabda : Mahukah aku khabarkan sejahat-jahat manusia iaitu mereka yang suka mengadu domba, memecahkan persaudaraan dan suka mencari keaiban orang lain. ( Hadis sahih riwayat Imam Ahmad).
Diantara sebab berlakunya Namimah atau adu domba ini kerana :
1. Untuk memburukkan orang yang mengucapkan perkataan itu.
2. Menzahirkan kebaikan dan kasih sayang kepada orang yang diadu.
3. Menghabiskan masa dengan seronok menceritakan keburukan-keburukan orang lain.
4. Bergurau senda semata-semata.Hukumnya tetap haram kerana ia termasuk gurauan dusta dan pasti terdapat kesan buruk juga.
SIKAP KITA BILA MENDENGAR NAMIMAH
1. Tidak mempercayai pengadu domba kerana mereka adalah orang fasiq yang mana didalam Al-Quran, Allah perintahkan kita supaya menyelidiki perkhabaran mereka bersandarkan kepada ayat 6 surah 49 (Al-Hujurat) :
Wahai orang yang beriman Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.
2. Mencegahnya dari melakukan perbuatan tersebut serta memberikannya nasihat yang baik agar dia tidak melakukannya lagi.Munkin perlu kita menceritakan keburukan mengadu domba itu.
3. Memarahinya kerana Allah kerana sememangnya perbuatan itu dimurkai oleh Allah.
4. Jangan sekali-kali bersangka buruk kepada saudara kamu yang terlibat itu kerana sangka buruk amat dilarang oleh Allah.
5. Jangan menyiasat perkara itu kecuali jika ianya diperlukan.
6. Jangan kamu juga menjadi penyambung lidah kepada pengadu domba.Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan menceritakan kebaikan kepada orang lain.
Ingat sabda Rasulullah ; Sesiapa yang beriman kepada Allah dan rasul hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam. (riwayat Bukhari dan Muslim) ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan