Isnin, 31 Ogos 2009

Kemerdekaan sebenar

Kemerdekaan sesuatu yang didamkan oleh semua manusia kerana ia bererti kebebasan dan kemerdekaan dari penderitaan dan kezaliman orang lain kepada kita.Kemerdekaan sememangnya dituntut oleh Islam.Nabi pernah berdoa memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada penindasan orang lain.

Didalam Islam, pada satu masa dulu ,ada sistem perhambaan dan Islam menjanjikan diberi ganjaran besar kepada orang yang berkorban untuk membebaskan hamba.Pembebasan hamba ini memberikan signifikan yang besar menjurus untuk memberi erti agar umat memahami bahawa betapa pentingnya kemerdekaan bagi seseorang manusia.

Kemerdekaan perlu difahami dari perspektif Islam, barulah ia sempurna kefahaman itu.Kemerdekaan memberi maksud kebebasan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk dan terus memperhambakan diri kepada Allah dengan bertaqwa kepadanya sebenar-benarnya.Kemerdekaan bukan setakat mengibarkan jalur gemilang tanpa memahami apa-apa erti kemerdekaan.Kemerdekaan memberi makna kita bebas dari cengkaman musuh samada manusia atau syaitan dan nafsu .

Tidak ada makna kemerdekaan jika kita masih diselubungi jerebu shahwat yang tidak dapat dikawal,atau dihujani masalah-masalah jenayah,masalah dadah,masalah rempit,rogol,rompakan,ragut,pembunuhan dan masalah-masalah sosial yang lain.kemungkinan masalah sosial ini dizaman penjajah pun tidak berlaku .Kenapa dizaman kemerdekaan berlaku ? Lalu apa erti kemerdekaan ? Kemerdekaan seharusnya menjadi pemankin kepada pembentukan biah atau suasana yang lebih baik daripada zaman penjajah.memang benar dari perspektif pembangunan keadaan sekarang lebih baik tetapi pembangunan tidak harus dilihat dari sisi fizikal sahaja.Apa erti bangunan mencakar langit tetapi pembangunan akhlak dan kemanusiaan menjunam teruk.

Rasulullah saw memerdekakan kota Mekkah daripada bangsanya dan saudara maranya sendiri menjurus kearah suasana yang lebih baik,daripada biiah jahiliyyah kepada biiah Islam.Maka selepas dimerdekakan kota Makkah ,kota ini menuju kepada kepesatan pembangunan akhlak dan taqwa kepada Allah sehinggalah sekarang ini.Ini yang diasaskan oleh Rasulullah saw.Pembangunan fizikal juga tidak terabai dan terbiar.Maka untuk menjamin kemerdekaan ini terus signifikan kepada kita,maka umat ini mestilah ditarbiyyah dan dibimbing untuk memahami dan menghayati erti kemerdekaan supaya kemerdekaan kita tidak dikoyak rabakkan oleh golongan juhala'.

Kemerdekaan ini dinyatakan oleh Rasulullah di dalam hadis:

Lima perkara ciri iman jika kurang salah satu maka cacatlah imannya ;

1. Tunduk kepada perintah Allah

2. Redha terhadap apa sahaja taqdir Allah

3. Menyerahkan diri kepada Allah

4. Bertawakkal kepadanya

5. Bersabar ketika detik awal musibah.

Mudah-mudahan kita dapat menghayati erti kemerdekaan ,terutamanya di bulan Ramadan yang sarat dengan resepi membentuk kemerdekaan diri dan umat daripada nafsu dan syaitan.

Ahad, 30 Ogos 2009

Kebahagiaan vs kecelakaan



"ذاق طعم الإيمان من رضي الله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد رسولا"
Hadis Nabi ini bermaksud: Akan merasai kemanisan iman siapa meredhai Allah sebagai tuhan ,Islam sebagai al-din dan Nabi Muhammad sebagai nabi dan Rasul.(Riwayat muslim,Ahmad dan Tirmizi)
Hadis ini menerangkan kepada kita akan ciri-ciri kemanisan iman iaitu Redha kepada Allah yang bermaksud redha kepada segala pemberian Allah,ketentuan baik dan buruk daripada Allah kerana diantara rukun iman itu ialah beriman kepada qada dan qadar Allah.Sesungguhnya perasaan redha inilah merupakan sumber kepada ketenangan jiwa yang merupakan pemangkin kebahagiaan hakiki.Kita tidak boleh membeli kebahagiaan dengan wang ringgit yang kita miliki.Kehidupan manusia tidak hanya memerlukan wang sahaja.Mereka perlu mengisi rohani mereka selain keperluan jasmani. Oleh kerana itu wang ringgit bukan penentu kebahagiaan walaupun ianya penting dalam hidup kita ini.Kita tidak boleh mengusir kegusaran dan kesedihan daripada hati kita dengan membayar sekian jumlah wang,tetapi kita hanya boleh mengusir kegusaran dan kesedihan di jiwa kita dengan keimanan yang benar kepada Allah.Buktinya gampang sahaja cuba kita perhatikan di barat banyak orang yang kaya harta tapi miskin iman ,banyak kes bunuh diri berlaku di Negara-negara barat. Kenapa berlaku? Adakah mereka kekurangan wang dan harta benda? Sebenarnya dunia mereka cukup segala-galanya.Cuma nur hidayah tidak dapat mereka kecapi kerana mereka tidak berusaha mendapatkannya.Bila iman tidak ada dalam hati , keresahan mengambil tempat dalam hati mereka.Apabila mereka merasai keresahan dan ketidak tenangan dalam jiwa maka mereka melakukan perbuatan-perbuatan luar biasa seperti minum arak,dadah dan yang lebih tragis mereka sanggup bunuh diri. Benar sabda Rasulullah:
"من سعادة المرء استخارته ربه ورضاه بما قضى ومن شقاء المرء تركه الإستخارة وعدم رضاه بعد القضاء "
Maksudnya : “Diantara kebahagiaan seseorang ialah bilamana dia beristikharah kepada tuhannya dan redha ketentuan Allah,dan tanda kecelakaan seseorang ialah bila dia meninggalkan istikharah dan tidak redha ketentuan Allah” (Riwayat al-Bazzar)


Golongan mukminun meredai tuhannya kerana mereka yakin kepada kesempurnaan Allah,yakin dengan keadilan dan rahmatnya ,ilmu dan hikmatnya,yakin Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia .Mereka meyakini bahawa segala ketentuan Allah pasti ada hikmahnya ,perancangan Allah pasti lebih baik dari perancangan dirinya.Munkin manusia menyangka sesuatu perkara itu ,buruk pada zahirnya tetapi sebenarnya baik pada hakikatnya.Berapa ramai orang menganggap penghijrahannya kesuatu tempat membawa implikasi yang tidak baik,rupanya terdapat banyak kebaikan. Berapa ramai menganggap kegagalannya merupakan keburukan tetapi berlaku sebaliknya.Kita tidak akan merasai nikmat kenyang kalau tidak pernah rasa lapar,tidak ada makna sabar tanpa kesusahan dan musibah, tidak ada makna sihat tanpa pernah kita merasa sakit,tidak ada makna pemurah jika tidak ada kemiskinan yang memerlukan,tidak ada makna berani tanpa ada risiko dan tidak ada kenikmatan hidup tanpa pernah merasai musibah.
Pernah berlaku satu kisah orang yang sudah lama menderita penyakit lumpuh.Dia menanggung penderitaan dengan penuh kesabaran dan sentiasa mengharapkan satu hari dia akan sembuh.Pada satu ketika seekor kalajengking berbisa datang menjenguknya,merayap di badannya dalam keadaan dia tidak boleh berbuat apa-apa.Dia menyangka satu perkara buruk akan berlaku kepadanya ,maka sangkaannya tidak meleset sama sekali .Kalajengking menggigitnya dan memasukkan bisanya kepada orang ini.Dia tidak berjaya menghalaunya kerana tidak boleh bertindak apa-apa,dia fikir kalau dia sihat tentu mati kalajengking itu dibunuhnya. Taqdir Allah mengatasi segala-galanya,sebaik sahaja kalajengking itu memasukkan bisanya tiba-tiba badannya boleh digerak-gerakkan sedikit demi sedikit, satu anggota kesatu anggota dan akhirnya dia boleh menggerakkan semua anggotanya ,kemudian dia cuba bangun dan ternyata usahanya tidak sia-sia. Dia mula boleh bangun dan bergerak perlahan-lahan akhirnya dia sembuh seperti biasa.Keluarganya sungguh terkejut.. tapi itulah taqdir dan tadbir Allah…Sama-samalah kita menyuburkan iman kita di bulan ramadan ini....

Puasa: Maksud terpulang kepadaku membalasnya


Allah menjanjikan kepada orang yang berpuasa akan digandakan pahala mereka dengan lebih hebat dari ibadah lain .Sabda rasulullah saw:
الصوم لي وأنا أجزي به

Maksudnya; Puasa itu untukku dan terpulang kepadaku membalasnya (Riwayat Imam Muslim)
Dalam menghuraikan maksud terpulang kepadaku membalasnya,ulama menyatakan bahawa Ibadah yang lain seperti solat ,zakat,haji dan lain-lain lebih bersifat terbuka,dapat dilihat orang dan lebih terdedah kepada risiko sifat riak atau menunjuk-nunjuk .Manakala ibadat puasa lebih menonjolkan sifat ikhlas kerana seseorang itu boleh makan dan minum di tempat-tempat tersembunyi jika dikehendaki nya,Ini bermakna jika dia berpuasa memang betul-betul ikhlas kepada Allah dan mengharapkan pahala dari Allah kerana jika dia tidak mahu berpuasa tidak ada siapa yang tahu melainkan Allah sahaja.
Tambahan lagi ibadah puasa lebih menekankan persoalan niat dan menahan lapar dan keletihan .Ini menjadikannya lebih menyerlah ikhlas kepada Allah. Dalam masa yang sama melakukan jihad nafsu menentang kemahuan diri dan godaan syaitan ketika menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan pahalanya.Lantaran itu Allah mengurniakan pahala yang tidak disebut gandaannya.Sedangkan ibadah lain disebut gandaan antara 10 sehingga 700 gandaan pahala.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Kesilapan-kesilapan ketika puasa


Seringkali kita hanya fokus kepada perkara yang membatalkan puasa sahaja lantas kita mengelakkan diri daripadanya.Bagus , itu satu tuntutan Ramadan. Seperkara lagi ialah kita perlu fokus kepada perkara yang membatalkan pahala puasa.Ini bertujuan untuk kita mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah dan beroleh balasan syurga Allah di akhirat nanti.Untuk kita memelihara pahala puasa kita mestilah mengelakkan dari terjebak didalam kesilapan-kesilapan di bulan mulia ini. Diantara kesilapannya adalah tidak memelihara lidah dengan selalu bercakap perkara sia-sia dan melakukan perkara yang ustaz huraikan sebelum ini.termasuk kesalahan juga berlebih-lebihan didalam makan minum semasa berbuka.cuba kita bayangkan betapa banyaknya makanan yang kita sediakan semasa berbuka seolah-olah Ramadan adalah pesta makan .Kadang tidak cukup berbuka di rumah kita berbuka di hotel-hotel yang tentunya harganya mahal sekepala munkin mencecah RM 50,60 dan makan pulak boleh sebanyak-banyaknya.Rugilah kita, makan banyak, tak boleh berjemaah,terkadang disediakan pula penari dan penyanyi untuk menghiburkan pembuka-pembuka puasa.Inilah yang akan membiawak panaukan puasa kita.Habislah pahala puasa.Kesilapan lagi ada yang menghabiskan hari puasa dengan banyak tidur.Sebenarnya tidur sedikit pada bulan Ramadan untuk menguatkan badan bagi membolehkan beribadat pada malam adalah sunat. Tapi kalau banyak sampai tiga empat jam jadi makruh yang menghilang hikmah puasa itu sendiri.seterusnya menghabiskan hari puasa dengan permainan sia-sia seperti main game, dam, karem, atau menonton TV,cd,DVD, yang melalaikan maka ini juga akan melanggar adab-adab puasa dan mengikis pahalanya.Diantara kesilapan lain ialah berjaga malam dengan ngobrol kosong,nonton tV saja.Tak ada pahala kecuali berjaga untuk tahajjud, zikrullah, baca Al-Quran dan ibadat lain.Dan kesalahan fatal lain ialah mengabaikan solat berjamaah di masjid atau surau.Sembahyang di rumah tidak menggugurkan tuntutan fardhu kifayah.sikap seperti ini dapat dikatakan tanda-tanda hati kita kurang elok dan menandakan adanya penyakit hati dan matinya jiwanya seseorang . Terdapat dikalangan orang yang berpuasa yang tidak pernah menyentuh al-Quran dan tidak membacanya.mereka lebih banyak membaca akhbar,internet dan meneliti sms di ,handphone,ada juga yang asyik download lagu-lagu dan nada dering sahaja.maklumlah handphone harga beribu-ribu dan funtion bermacam-macam ,asyik dengan handphone sahajalah.jadi masa nak menatap al-Quran tidak ada,kalau ada pun sedikit sangat.Ini adalah kesilapan yang perlu dijauhi.Pada bulan Ramadan juga kita kurang bersedeqah.Sayang duit katanya padahal kalau kita mati duit lebih berpuluh ribu ,tidak digunakan.sayang sekali. tak ada saham akhirat.Dibulan Ramadan juga ada yang kurang merebut kelebihan Tarawikh.Cukup setakat solat isyak kemudian balik menonton drama TV bersama anak-anak dirumah.Orang -orang yang berpuasa juga seringkali membebani keluarga dengan memasak pelbagai juadah makanan.Begitu banyak masa dihabiskan untuk tujuan tersebut menyebabkan tak sempat baca Quran, zikir dan doa .Seandainya mereka menyiapkan makanan ala kadar sahaja tentu ada banyak masa untuk ibadat. masak banyak-banyak pun kadang-kadang tak termakan .. Nafsu memang teringin ketika lapar .......Sama-samalah kita jauhi kesilapan ini....

Khamis, 27 Ogos 2009

Orang mukmin menjaga pandangan


Diantara tuntutan Ramadan ialah kita sentiasa menjaga pandangan mata dari perkara haram atau sia-sia.Orang mukmin yang boleh menjaga matanya akan dikurniakan oleh Allah kelazatan beribadat.Berikut huraian lanjut berkaitan tajuk ini.Ustaz harapkan huraian ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita bersama.


Pandangan sia-sia bermaksud melihat kepada sesuatu yang tidak berfaedah atau kepada perkara haram seperti aurat lelaki atau wanita yang bukan mahram.Pandangan sia-sia berlawanan dengan menahan pandangan.Larangan ini jika ditinjau dari sudut hikmahnya ialah bertujuan menjaga dan memelihara kemaluan dari perzinaan dan maksiat berkaitan kemaluan demi menjaga kehormatan dan keturunan manusia.Pandangan mata adalah pintu terbesar yang menyebabkan rosaknya hati manusia dan kurangnya iman mereka.
Firman Allah Taala: Katakankah kepada lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan kerana demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang mereka perbuat.
( Surah Al-Nur ayat 30)
Demikian juga golongan wanita mesti menjaga pandangan mereka juga kerana terdapat arahan Allah kepada mereka secara khusus agar menjaga pandangan mata mereka.

KESAN-KESAN PANDANGAN SIA-SIA
1. Pandangan sia-sia terhitung sebagai dosa atau maksiat yang menyalahi perintah Allah.Kerugian besarlah mereka yang mencuaikan perintah Allah dan memandang remeh larangannya.
2. Ianya memporakperandakan hati manusia dan menjauhkan dari Allah sedangkan tidak ada kemudaratan terbesar selain daripada melanggar larangan Allah. Ianya hanya akan mewujudkan kerenggangan hubungan dengan Allah.Manakala orang yang menahan pandangan akan mencapai dan menggapai kedekatan hubungan dengan Allah.
3.Pandangan sia-sia akan mengakibatkan kesedihan dan merasai kelemahan jiwa.Manakala menahan pandangan akan mewarisi kekuatan hati dan kelapangannya.
4. Menghasilkan kegelapan dalam hati yang menatijahkan pelbagai kejahatan dan keburukan seperti bidaah,kesesatan,mengikut nafsu,berpaling dari kebahagiaan,mendekati sebab-sebab kecelakaan.Ini berlaku kerana apabila nur tidak ada dalam hati maka hati akan menjadi buta.Buta disini bukan buta mata tetapi buta dari melihat kebenaran.Sebaliknya apabila kita menahan pandangan hati akan bercahaya yang akan memperlihatkan tandanya pada wajah dan anggota.Apabila hati bercahaya maka akan datanglah kebaikan dari segenap penjuru.
5. Pandangan sia-sia mengakibatkan kerasnya hati manusia dan menutup pintu ilmu.Manakala menjaga pandangan akan menyebabkan hati ada “nur” memudahkan proses menerima ilmu kerana ilmu itu cahaya yang tidak akan masuk dalam hati yang gelap dengan sebab maksiat.

Rabu, 26 Ogos 2009

Jauhi adu domba

Hari kita berpuasa hari ke 6.Ustaz akan bercerita lagi tentang sifat mazmumah yang perlu kita jauhi untuk menjaga puasa kita.iaitu sifat mengadu domba.
Mengadu domba bermaksud menceritakan perkataan buruk seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk menimbulkan permusuhan dan kemarahan diantara kedua-duanya. Mengadu domba adalah termasuk perkara yang diharamkan oleh Allah kerana sifat ini akan mengakibatkan timbulnya fitnah didalam masyarakat,terputus hubungan silaturrahim,menanamkan kedengkian dalam hati,memecahkan jemaah dan ianya menjadikan teman bertukar menjadi musuh manakala saudara akan bertukar menjadi asing kerana perkelahian tersebut.
Pengadu domba ibarat seperti lalat yang membawa kuman-kuman penyakit lalu memindahkan penyakit berbahaya kepada manusia. Mengadu domba ini boleh berlaku dalam bentuk perkataan, penulisan,simbol atau isyarat.Sepatutnya perkara buruk yang didengar dari orang lain kita sembunyikan kecuali dengan mendedahkannya kepada orang lain akan membawa kebaikan kepada umat Islam atau menolak kemudharatan dan maksiat.
Adapun hukum mengadu domba ini adalah haram dan termasuk dosa-dosa besar di dalam Islam.Ini bersandarkan kepada nas berikut:
1. firman Allah : Surah Al-Qalam (68- ayat 10-11)
Maksudnya: Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang bersumpah lagi yang hina.Yang suka mencaci lagi suka menyebarkan fitnah hasutan(untuk memecahbelahkan orang ramai)
2. Hadis Rasulullah: Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba (riwayat Al-Bukhari)
3. Hadis Rasulullah: Bila nabi berjalan dengan sahabatnya melalui dua kubur Nabi menyatakan kepada sahabat : Mahukah kamu aku khabarkan kedua-duanya diazab bukan kerana perkara besar(pada tanggapan keduanya) salah seorangnya suka mengadu domba dan seorang lagi tidak membersihkan kencingnya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4. Nabi bersabda : Mahukah aku khabarkan sejahat-jahat manusia iaitu mereka yang suka mengadu domba, memecahkan persaudaraan dan suka mencari keaiban orang lain. ( Hadis sahih riwayat Imam Ahmad).
Diantara sebab berlakunya Namimah atau adu domba ini kerana :
1. Untuk memburukkan orang yang mengucapkan perkataan itu.
2. Menzahirkan kebaikan dan kasih sayang kepada orang yang diadu.
3. Menghabiskan masa dengan seronok menceritakan keburukan-keburukan orang lain.
4. Bergurau senda semata-semata.Hukumnya tetap haram kerana ia termasuk gurauan dusta dan pasti terdapat kesan buruk juga.
SIKAP KITA BILA MENDENGAR NAMIMAH
1. Tidak mempercayai pengadu domba kerana mereka adalah orang fasiq yang mana didalam Al-Quran, Allah perintahkan kita supaya menyelidiki perkhabaran mereka bersandarkan kepada ayat 6 surah 49 (Al-Hujurat) :
Wahai orang yang beriman Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.
2. Mencegahnya dari melakukan perbuatan tersebut serta memberikannya nasihat yang baik agar dia tidak melakukannya lagi.Munkin perlu kita menceritakan keburukan mengadu domba itu.
3. Memarahinya kerana Allah kerana sememangnya perbuatan itu dimurkai oleh Allah.
4. Jangan sekali-kali bersangka buruk kepada saudara kamu yang terlibat itu kerana sangka buruk amat dilarang oleh Allah.
5. Jangan menyiasat perkara itu kecuali jika ianya diperlukan.
6. Jangan kamu juga menjadi penyambung lidah kepada pengadu domba.Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan menceritakan kebaikan kepada orang lain.
Ingat sabda Rasulullah ; Sesiapa yang beriman kepada Allah dan rasul hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam. (riwayat Bukhari dan Muslim) ...

Selasa, 25 Ogos 2009

Jangan mengumpat

Dibulan Ramadan khususnya kita umat Islam amat ditegah dari melakukan umpatan kepada orang lain.begitu juga pada bulan yang lain.
Disini ustaz ingin menerangkan tentang topik mengumpat. Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.
Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, " Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.
Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah s.a.w : "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah bermaksud : " Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:
• Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
• Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
• Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

MENGUMPAT YANG DIHARUSKAN
Di dalam kitabnya yang berjudul ‘Nuzhatul Muttaqin’ syarah kepada kitab hadis yang masyhur ‘Riyadhus Sholihin’ mengenai siapa yang diharuskan mengumpat, pada asalnya mengumpat adalah haram akan tetapi diharuskan dalam keadaan keadaan tertentu. Dinyatakan oleh beliau diharuskan kepada enam golongan iaitu:
1. Mengadu kezaliman: Diharuskan kepada orang yang dizalimi mengadu kezaliman kepada qadi atau seumpamanya iaitu orang yang mempunyai kekuatan untuk menangani kes tersebut. Contohnya mengadu kepada hakim bahawa dia telah dizalimi oleh polan bin polan.
2. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran: Mengadu kepada orang yang mampu untuk mencegah kemungkaran tersebut.contohnya mengadu kepada bapa atau keluarga pelaku maksiat agar keluarganya dapat menasihati serta mencecahnya dari terus melakukannya.
3. Meminta fatwa: Diharuskan bagi orang yang ingin menanyakan fatwa mnceritakan apa yang berlaku bagi membolehkan mufti mengeluarkan hukum yang bertepatan dengan apa yang dikehendakinya.
4. Memberi peringatan kepada Muslimin serta menasihati mereka.
5. Orang yang terang terang melakukan maksiat: Dibolehkan mengumpat ke atas mereka ini bagi menyedarkan kesalahan mereka. Sebagai contoh mereka berjudi atau minum arak di jalanan, dibolehkan mengumpat atau mengata mengenai hal mereka.
6. Pengenalan kepada seseorang insan yang mana tidak dikenali orang tersebut kecuali dengan gelaran: Contohnya polan bin polan tidak dikenali di tempat asalnya kecuali dengan gelaran tertentu, maka dibolehkan.


SEBAB BERLAKU PERBUATAN MENGUMPAT
1. Bertujuan meredakan kemarahan. Apabila seseorang melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan kepada seseorang yang lain maka dia akan cuba meredakan kemarahannya dengan mengumpat orang yang menimbulkan kemarahan itu.Dengan itu dia akan merasa lega kerana telah melepaskan geramnya.
2. Mengumpat boleh berlaku kerana mengiakan kawan dan teman untuk mencari keredaannya.Seseorang akan merasakan seandainya dia tidak mengiakan maka munkin akan menimbulkan perasaan kurang senang dihati kawannya itu dan munkin akan mengakibatkan putus hubungan antara keduanya.Maka ia mengira mengumpat itu adalah demi menjaga hati kawan sahaja.
3.Keinginan untuk mengangkat diri sendiri mengatasi orang lain dengan kaedah dan cara memperlekehkan orang lain seperti dia berkata: Orang itu rendah ilmunya,kefahamannya terbatas, akhlaknya buruk dan sebagainya.Padahal ungkapan ini diucapkan bertujuan untuk memuji diri sendiri seolah-olah dia berkata lihatlah kepada diri saya tidak sepertinya.
4. Sengaja memperolok-olokkan orang lain dalam bentuk gurauan sahaja seperti mengajuk perbuatan-perbuatan tertentu seseorang yang membuat orang ketawa.Maka ini termasuk mengumpat yang diharamkan oleh Allah.

RAWATAN PENYAKIT MENGUMPAT
1.Orang yang suka mengumpat mestilah sedar bahawa mereka terdedah kepada kemurkaan Allah. Apabila dia mengumpat dia perlu sedar bahawa amalannya akan berpindah kepada mangsa umpatnya. Setelah habis kebajikannya dianugerahkan kepada mangsa umpatan itu maka kejahatannya pula akan diambil oleh pengumpat.Ini menampakkan beratnya bahana mengumpat.
2. Sepatutnya orang yang mengumpat, bila timbul keinginan untuk mengumpat maka dia perlu mengingati keaiban dan kekurangan dirinya terlebih dahulu dan berusaha merawatnya sebaik munkin. Dia perlu merasa malu keaibannya didedahkan.Maka dengan itu dia berusaha untuk tidak menyebut keburukan orang lain. Oleh itu ingatkan faktor pendorong kepada mengumpat seterusnya berusaha mengatasinya.

KAFFARAH MENGUMPAT

Orang mengumpat melakukan 2 kesalahan :

1. Melanggar larangan Allah kerana Allah melarang mengumpat dengan nas Al-Quran.Maka kifaratnya ialah taubat dan menunjukkan penyesalan.

2. mencemar kehormatan makhluk Allah.Jika umpatan itu sampai kepada mangsa maka wajib meminta kemaafan dari orang itu dan menunjukkkan penyesalan dihadapannya. jika umpatan itu tidak sampai mangsa maka beristighfarlah untuknya dan memujinya dihadapannya dan orang yang dengar umpatan itu.

Isnin, 24 Ogos 2009

Perhatikan anakmu..


Islam telah menetapkan ganjaran kepada orang menunaikan puasa Ramadan.Allah akan membalas dengan memberi ganjaran tidak terhingga kepada muslim yang beristiqamah merealisasikan ibadah mulia ini.Pintu syurga yang bernama Al-Rayyan disediakan kepada muslim yang konsistenmenghayati ramadan.Pemberian ganjaran daripada Allah perlu dijadika i'tibar kepada kita didalam pendidikan anak-anak kita.Anak-anak generasi kita perlu dididik mentaati perintah allah didalam bulan mulia ini.Setiap mukmin dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan mengasuh anak-anak untuk merealisasikan ibadat puasa ini.Tidak boleh dibiarkan mereka mengabaikan perintah Allah.. Didalam usaha kita mencapai matlamat ini munkin kaedah memberi ganjaran boleh digunapakai untuk membentuk generasi Rabbani.Munkin kita boleh menjanjikan kepada anak-anak begini ; Nak ! kalau kamu boleh menunaikan puasa penuh pada hari ini ayah akan beri kamu duit atau hadiah dan sebagainya,kalau kamu boleh solat ayah akan bagi kamu sekian... sekian hadiah.cuma kita perlu berpesan kepada anak mesti ikhlas dan tidak menipu.Begitulah kaedah Islam dalam mendidik anak-anak .Hakikatnya kita hari ini kurang memberi motivasi kepada anak untuk melakukan kebaikan,kita kurang memberi dorongan dan bimbingan, kita kurang ambil berat soal agama anak-anak . Manusia, mutaakhir ini lebih suka memberi ganjaran kepada anak bila mereka pandai menyanyi dan berkaroake, mereka mendapat ganjaran bila lulus matematik,sains dan bahasa Inggeris dengan baik tetapi tidak kisah kalau anak tidak puasa, solat dan tidak boleh membaca Al-Quran,ibubapa tak kisah bila anak tidak menutup aurat dengan sempurna padahal itu perintah Allah. Akhirnya akan lahirlah anak-anak yang pincang dan berat sebelah iaitu cenderung kepada dunia semata-semata tidak kisah soal adab,akhlak dan agama.Mereka tidak sedih bila tidak lulus agama,tetapi mereka amat kesal dan dan sedih bila tidak lulus subjek akademik. Ustaz rasa kita perlu mewujudkan keseimbangan antara kedua-dua ini.Kita perlu mengambil berat soal-soal akademik anak-anak dan tetapi kita tidak boleh sama sekali mengabaikan ilmu dan amalan agama anak-anak.Kita mesti memastikan anak kita berpuasa,solat,menutup aurat, mahir Al-Quran,berbakti kepada ibu bapa dan semua tuntutan-tuntutan agama.



Sabda Rasulullah: Perintahlah anak-anak kamu bersolat(dikiaskan dengan perintah yang lain)ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukul mereka (sekadar untuk mendidik) sekiranya umur mereka mencecah sepuluh tahun)..



Mudah-mudahan kita dapat melahirkan generasi yang cintakan Islam, beramal sepenuhnya dengan Islam dan berusaha menyebarkan dakwahnya...

Ahad, 23 Ogos 2009

Awasi lidahmu !

Umat Islam dituntut untuk menjaga lidah sepanjang masa khususnya pada bulan Ramadan.Kesempurnaan puasa terletak sejauh mana kita mampu menjaga dan mengawal lidah kita. Lidah adalah anggota yang kecil rupabentuknya namun besar dosanya jika terlanjur kata.Orang yang boleh menjaga lidah dijamin oleh Nabi kita dengan syurga .
Sabda rasulullah saw : Sesiapa yang boleh menjamin anggota diantara dua mulut dan antara dua pahanya aku menjamin dia syurga.
Berdasarkan kitab Mukhtasar Minhajul Qasidin .Pengarangnya Ibnu Qudamah Al-Maqdisi R.H menyenaraikan beberapa bencana lidah :
1. Bercakap perkara yang tidak ada kepentingan atau sia-sia.
2. Bercakap perkara-perkara batil seperti hiburan yang melalaikan dan majlis-majlis berunsur maksiat .
3. Banyak berbicara dan memaksa diri dengan kata-kata bersajak yang melahirkan rasa riak dan merasa hebat berbahasa.
4. Melontarkan kata-kata keji ,suka mencela dan mengumpat.
5. Banyak bergurau senda kecuali yang sedikit tetapi bergurau secara benar.
6. Mengejek dan mengolok-olok orang lain.
7. Membocorkan rahsia,melanggar janji dan berdusta kecuali yang diharuskan.
8. Ghibah -Diumpamakan oleh seperti pemakan bangkai.
9. mengadu domba - sabda rasulullah saw: Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba.
10.Empunya dua lidah bila berhadapan dengan dua orang yang berbeza.Nabi menyatakan orang yang paling jahat ialah empunya dua lidah atau kita panggil (lidah bercabang)
11. Melontarkan kata-kata pujian kerana ia boleh menimbulkan riak dan ujub melainkan diyakini orang yang dipuji tidak timbul ujub dan riak seperti Nabi memuji sahabat.
12. Kesalahan dalam menjelaskan maksud perkataan yang berkaitan dengan agama terutamanya berkaitan dengan sifat Allah. Tidak terlepas darinya kecuali ulama .Sesiapa yang kurang ilmu bahasa dan fasahahnya tidak terlepas dari kesalahan ini tetapi diampunkan Allah kerana kejahilannya.
13. Pertanyaan orang awam tentang sifat-sifat Allah dan kalamnya berkenaan sesuatu yang rumit dan mendalam . Yang seharusnya mereka lakukan adalah beriman dengan kandungan Al-Quran sepenuhnya dan menyibukkan diri dengan ibadah.
Demikianlah tuan-tuan, banyaknya bencana lidah yang perlu dihindarkan. kita mesti berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam bencana yang merbahaya kepada iman seseorang.
Allah Maha Mengetahui .

Peluang keemasan,jangan dilepaskan....

Bulan Ramadan mempunyai begitu banyak kelebihan. Secara ringkasnya ustaz nyatakan disini :
1. Diturunkan Al-Quran yang menjadi pegangan umat islam sepanjang zaman. begitu juga mengikut ulama Islam kitab-kitab lain seperti Zabur,Taurat dan juga diturunkan pada bulan Ramadan.
2.Pintu rahmat dibuka dan pintu neraka ditutup. Sabda Rasulullah: Apabila tiba Bulan Ramadan segala pintu rahmat dibuka ,pintu neraka ditutup dan diikat segala Syaitan.
3. Umrah pada bulan Ramadan menyamai haji bersama nabi. Ini berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari : Umrah pada bulan Ramadan kelebihannya menyamai mengerjakan haji bersamaku.
4. Menghapuskan dosa . Sabda Rasulullah s.a.w : Solat lima waktu ,solat dari jumaat ke Jumaat dan puasa dari Ramadan ke Ramadan menghapuskan dosa antara 2 tempoh itu apabila meninggalkan dosa besar. (riwayat Muslam)
5. Dibebaskan dari seksa neraka .
6. Rahsia setahun berpuasa. Sabda nabi ; Sekiranya umatku mengetahui kelebihan yang ada pada bulan ramadan pasti umatku mengharapkan setahun penuh menjadi Ramadan.
7. Semua syaitan dibelenggu. Maksudnya apabila seseorang itu berpuasa, Allah menolongnya daripada gangguan syaitan.Syaitan terhalang daripada menipu anak adam kerana nafsu yang menjadi tunggangan syaitan disekat oleh puasa. Oleh itu syaitan terbelenggu kerana diikat kemahuan nafsu jahat yang terhalang.Ini adalah penafsiran setengah ulama'.
8. Terdapat kelebihan malam lailatul Qadar.Yang ini Ustaz akan huraikan dengan lebih lanjut pada masa yang sesuai.
Marilah kita berusaha merebut peluang keemasan ini .Rugi kalau tak rebut....Selamat berbuka puasa..

Sabtu, 22 Ogos 2009

Hukum sugi dan solat sunat bagi orang ada qada solat

Soalan : Apakah hukum bersugi selepas dari tergelincir matahari ?

Jawapan : Sungguhpun ada hadis qudsi menyatakan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum dari kasturi di sisi Allah, tetapi hukum bersugi tetap disunatkan.Imam Nawawi dan Saiyyid Sabiq R.A berpendapat bersugi tetap disunatkan sepanjang hari samada pagi atau petang.
Soalan: Apakah orang yang ada hutang solat(perlu qada) boleh mengerjakan solat sunat termasuk tarawih?
Jawapan ; Ada pendapat ulama mengatakan tidak harus orang yang ada solat qada menunaikan solat sunat.Pendapat ini adalah lemah. pendapat yang rajih atau kuat adalah harus orang yang ada qada solat menunaikan solat sunat termasuk Tarawih kerana kedudukannya berlainan. solat qada untuk menggantikan solat yang ditinggalkan. manakala solat sunat mendapat kelebihan yang tersendiri dan berperanan menampung kekurangan dalam solat. wallahua'lam.

Hargailah Ulama'




Mutaakhir ini , sebahagian umat Islam tidak lagi menghargai para ulama yang merupakan pewaris para nabi .mereka melaksanakan tugas dakwah tanpa mengharapkan balasan manusia.Ulama adalah pewaris para nabi sebagaimana yang disebut dalam hadis nabi kita saw. Namun yang agak menyedihkan kita ialah kenapa umat ini kurang menghargai para ulama.Jika majlis-majlis yang dihadiri para ulama amat kurang sambutan.Padahal majlis-majlis maksiat dihadiri oleh ribuan manusia.Artis-artis disanjung dan dijadikan idola.Ulama diperkecilkan. Ini yang menimbulkan rasa cemburu dihati orang yang beriman kerana amat diharapkan kepada umat ini menjauhi perkara yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka.Cemburu bukan kerana kepentingan diri tetapi kerana Allah.Bila ulama membuat sesuatu teguran , umat kita cepat melenting seterusnya melabelkan ulama dengan berbagai gelaran ,kolotlah,ekstrimlah,ketinggalan zamanlah dan berbagai-bagai gelaran buruk lagi. Ini amat mendukacitakan.. Memang terkadang ada ulama-ulama yang tidak boleh menguasai teknologi,tidak menguasai ilmu sains,komputer dan sebagainya tetapi ini tidak menjadi alasan untuk umat ini tidak menghormati mereka kerana mereka memiliki ilmu yang memandu umat ke akhirat supaya kita selamat disana nanti.Bila kita tidak menghargai mereka kepada siapa lagi kita akan mengambil panduan untuk menghayati Islam.Sememangnya mana-mana manusia memiliki kelemahan siapapun dia.Kita perlu melihat kepada kelebihan bukan kekurangan untuk dijadikan tauladan kita.Kita perlu tanya kepada diri kita apa kelemahan kita dan apa kelebihan orang lain. Umat yang baik adalah umat yang memartabatkan para ulama mereka memandangkan status mereka menjadi pewaris nabi. Nabi sudah tidak ada untuk kita bertanya segala masalah.Maka ulamalah pewarisnya yang perlu dijadikan tempat rujukan.Oleh itu amat wajar kita menghargai para ulama. kalau burung tiong yang boleh memberi salam dibeli orang dengan harga yang mahal .Inikan pula ulama yang lebih fasih memberi salam .....


Fikir-fikirkanlah ....

hukum ibu tiri


soalan : apakah hukum ibu tiri berkahwin dengan anak tirinya selepas bercerai dengan bapanya.

jawapan : Ibu tiri haram berkahwin dengan anak tiri selepas bercerai dengan bapa walalaupun belum berjimak dengan suaminya (bapa anak tersebut). Ini berbeza dengan bapa ,dia boleh berkahwin dengan anak tiri setelah bercerai dengan ibunya dengan syarat belum berjimak dengan isteri tersebut(ibu anak itu)

Jumaat, 21 Ogos 2009

Ruh Puasa


Apabila kita berpuasa kita akan menghadapi lapar dan dahaga.Itu adalah perkara biasa dalam puasa.Kita diperintahkan menahan lapar dan dahaga kerana Allah.Nabi s.a.w bersabda dalam hadis Qudsi : Firman Allah : Puasa untukku dan akulah yang berhak membalasnya.Perintah Allah ini mempunyai sangat banyak hikmatnya.Antaranya menanamkan sifat ikhlas kepada Allah,Orang yang berpuasa boleh saja dia makan dimana-mana sahaja secara rahsia tanpa diketahui oleh orang lain.. boleh saja dia makan dalam bilik , didapur dan dimana-mana saja tanpa diketahui orang.Tetapi orang mukmin tidak melakukan demikian kerana dia meyakini bahawa Allah maha mengetahui tindakan yang dilakukan.Inilah iman ...inilah keikhlasan dan keyakinan kepada ganjaran dari Allah.Orang yang berpuasa memang merasa lemah ,tidak kuat dari segi fizikal tetapi ruh mereka kuat.Namun terdapat sebahagian manusia menjadikan bulan Ramadan bulan Kelemahan,bulan kemalasan, bulan kesedihan,bulan untuk banyak tidur dan sebagainya.Mereka mengambil kesempatan Ramadan ini untuk berlingkar diatas tilam-tilam yang empuk ,bangun tidur pukul 11 , 12 tengahari.Begitu juga mereka berkerja dalam keadaan malas, padahal kerja kerana Allah adalah ibadat.Mereka menghabiskan banyak masa dihadapan TV saling bertukar-tukar CD,DVD untuk mempercepatkan masa berbuka kata mereka.Kalau kita mengimbau sejarah lampau sahabat-sahabat nabi berperang pada bulan Ramadan, Peperangan Badar berlaku dalam bulan Ramadan,Salahuddin Al-Ayyubi berperang lawan Kristian pada bulan Ramadan dan sebagainya.Jadi kesimpulan yang boleh ustaz buat Ramadan adalah bulan jihad, bukan bulan bermalas-malas,tidur banyak ,atau menghabiskan masa dalam perkara sia-sia. Dibulan inilah kita perlu berusaha minta ampun kepada Allah, cari pahala, bulan inisiatif, tingkatkan ibadat sunat,hadir majlis-majlis ilmu,berbuat baik kepada manusia.Ustaz teringat kata-kata ulama: Barangsiapa tidak diampunkan Allah pada bulan Ramadan jangan diharapkan keampunan pada bulan yang lain. wallahuaklam.

Beberapa hukum tentang puasa

Soalan : Adakah sah puasa orang yang berjunub pada malam hari apabila dia tidak sempat mandi wajib pada paginya kecuali setelah masuk waktu subuh ?

Jawapan : Sah puasanya walaupun mandi tersebut dilakukan setelah masuk waktu subuh.Sama masalahnya seperti orang yang suci dari haid pada malamnya tetapi dia mandi selepas masuk subuh . Sah puasanya bahkan wajib seperti biasa. Wallahuaklam

soalan : Adakah boleh menggosok gigi semasa puasa dengan menggunakan ubat gigi?

jawapan: Harus gunakan ubat gigi tetapi mesti berhati-hati dikhuatiri ubat gigi tersebut masuk ke dalam perut yang akan membatalkan puasa kita.Seeloknya dielakkan pada masa puasa.

soalan : Adakah makruh mandi selepas gelincir matahari semasa kita berpuasa?

Jawapan : Tidak makruh jika niat kita untuk membersihkan badan selepas balik kerja untuk lebih selesa berbuka puasa dan membolehkan kita solat berjamaah.

Soalan: Bagaimana tuntutan solat jemaah waktu maghrib pada bulan ramadan?

Jawapan : Kebanyakan kita pada bulan Ramadan tidak mengambil berat tentang solat jamaah maghrib ,alasannya nak berbuka bersama ahli keluarga. Perkara ini tidak harus berlaku kepada umat islam kerana walaupun kita berpuasa namun tuntutan solat jamaah tetap seperti biasa. Jangan sampai berbuka puasa melalaikan kita dari solat.Sepatutnya pada bulan Ramadan masjid lagi diimarahkan bukan sunyi pada waktu maghrib.Sebaiknya masjid menetapkan masa iqamat maghrib. umpamanya 20 minit selepas azan akan didirikan solat jamaah . ini bertujuan untuk membolehkan ahli jamaah mengetahui masa solat dan sempat bergerak ke masjid.wallahuaklam.

20 rakaat atau 8 rakaat


alhamdulillah,kita telah menunaikan solat tarawikh. ada diantara kita yang menunaikan tarawikh 8 rakaat dan ada yang menunaikan 20 rakaat. Sebenarnya bagi Ustaz tidak ada masalah samaada kita nak buat 8 atau 20 asalkan kita khushuk. Di antara manusia ada yang menjadikan masalah ini sebagai bahan berkhilaf padahal ini masalah khilafiah sheikh,jangan jadikan masalah khilafiah sebagai punca perbalahan. Bersatu itu wajib manakala tarawikh itu tidak ada ulamak kata wajib bahkan ia sunat jua.Jangan mudah melemparkan tuduhan bida' ah kepada orang lain dengan hanya kerana menunaikan 20 rakaat. pada zaman Saidina Umar beliau menjadi perintis amalan tarawikh 20 rakaat.Mustahil beliau melakukan perkara yang nabi tak suka atau bidaah dholalah.Saidina Omar R.a antara sahabat yang sangat memahami sunnah.Yang peliknya orang yang kuat sunnah di Arab Saudi pun buat 20 juga.Mereka tidak buat 8. Sebenarnya bila kita buat 20 terasa suasana Ramadan ,suasana ibadah yang hebat.Tidak rasa penat pun sebab kita rasa kita mengadap Allah S.W.T dengan penuh khushuk. Ramadan setahun sekali.Rasa rindu sangat pada Ramadan. Tapi yang buat 8 pun kalau khushuk ok juga. Munkin mereka balik ke rumah sambung dengan baca Quran, atau solat sunat yang lain. Jangan mengadap TV sudahlah. Lagi bidaah tu kerana bulan mulia ni kurangkanlah menonton T.V . Tumpukan pada ibadat.. ok sahabat-sahabat . Ustaz undur diri dulu .Selamat bersahur dan berpuasa....

Rebutlah Ramadan

Salam Ramadan kepada semua umat islam diseluruh dunia kerana kita masih dikurniakan oleh Allah nikmat kesihatan dan pernafasan maka kita masih boleh menikmati kehidupan ini dengan mengabdikan diri kita kepada Allah .terdapat dikalangan sahabat kita yang dipanggil oleh Allah lebih awal dari kita untuk bertemu dengannya, maka ramadan yang lepas menjadi ramadan terakhir bagi mereka . sejam lagi kita akan menyambut ramadan mubarak. Sahabat-sahabat nabi dulu menunjukkan kegembiraan bila menyambut bulan ini seperti kita menyambut raya,kalau kita sambut raya tuan-puan boleh bayangkan amat terserlah kegembiraan kita dengan pakaian barunya,perabut rumah barunya,langsir baru, kadang-kadang rumah baru dan keretapun baru. kita kurang menyambut ramadan dengan kegembiraan bahkan ada yang sedih bila sambut ramadan,sebab tidak boleh makan minum,restoran kena tutup , tak ada sumber rezeki lagi kata mereka.sebab itu sedih tu .Sebenar tuan-puan kalau kita fikirkan dalam setahun hanya sebulan sahaja kita berpuasa, sebelas bulan lagi carilah rezeki puas-puas, sebulan sahaja kita perlu fokus kepada puasa dan kumpul pahala banyak-banyak . boleh kan insyaalllah malam ni sama-sama kita terawikh......

Perihal Taqwa




Allah berfirman:

"Adakah sesiapa yang lebih benar perkataannya dari Allah?"
(An-nisa':87)

Firmannya lagi:

"Adakah sesiapa yang lebih dipercayai perkataannya dari Allah?"
(An-nisa':122)

Kata Saidina Ali K.W Taqwa itu :" Takut kepada Allah, beramal dengan Al-Quran ,Redha dengan segala kurniaan Allah, membuat persediaan untuk bertemu Allah"

Oleh itu, tanpa taqwa tidak ada erti hidup kita ini, hidup kita bernilai dan bermakna dengan ketaqwaan kepada Allah.Walau kita ada banyak harta sekalipun ia akan menjadi bebanan yang maha dasyat diakhirat nanti jika tiada taqwa di hati.Harta yang ada tidak digunakan pada jalan Allah ,nak keluarkan zakat sayang, nak bersedekah sayang juga,nak infaq keluarga pun sayang akhirnya mati tinggalkan harta bertimbun-timbun, analoginya ialah seperti kerengga yang menghurung buah, ia tidak makan tapi bila orang lain nak ambil dia tidak benarkan dengan menggigit orang itu.... alahai ruginya orang tidak bertaqwa... sama-sama kita bertaqwa kepada tuhan kita ...Allahu Akbar.