AMALAN memfitnah, tuduh menuduh, menyindir, menyebarkan khabar angin, emel layang atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain dan berprasangka buruk semakin menjalar serta membarah dalam masyarakat Islam.
Semua amalan itu umumnya datang daripada lidah yang tidak bertulang yang lebih berbahaya daripada mata pedang yang terhunus hingga memungkinkan akibat buruk kepada manusia seluruhnya.
Oleh itu, Islam daripada awal lagi mengingatkan ummah mengenai bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerah Allah.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)
Perlu diinsafi walaupun lidah adalah anggota tubuh badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah, namun lidah mempunyai peranan agak besar dalam kehidupan manusia.
Pada satu ketika, lidah boleh memuliakan dan mengangkat maruah seseorang dan dalam ketika lain, lidah mampu menghina serta menjatuhkan seseorang. Malah, lidah juga berupaya membawa kejayaan dan tidak kurang menyebabkan kegagalan. Maka, tidak hairanlah orang tua ada bermadah “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.”
Menyedari kedudukan lidah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya jika engkau menyimpang daripada jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Hadis itu menjelaskan bahawa lidah umpama pisau bermata dua. Ia boleh hadir sebagai rahmat kepada manusia tatkala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama, boleh membawa sembilu dan kepedihan kepada umat manusia jika lisannya mendedahkan belang yang tersembunyi.
Mengikut perspektif Islam, lidah melambangkan identiti seseorang, sama ada dia bertakwa dan beriman kepada Allah atau sebaliknya.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik atau dia berdiam saja. (Hadis riwayat Bukhari)
Insan beriman dapat memelihara lidahnya daripada perkara batil dan dilarang Islam. Insan beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan dan bermanfaat kepada umat manusia serta mengelakkan diri daripada perkara melalaikan.
Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan serta perkataan sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)
Allah menyediakan panduan bagaimana lidah seseorang yang beriman itu sewajarnya disalurkan dan dimanfaatkan kerana setiap perkataan yang terkeluar akan dirakam serta direkodkan oleh malaikat Allah.
Alangkah berbahagia dan beruntungnya seorang beriman yang menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam sejagat melalui ungkapan kata-kata yang sentiasa bermakna dan bermanfaat.
Dijelaskan tiga jenis amalan dianjurkan Islam melewati lidahnya iaitu menyuruh orang melakukan amalan sedekah, berbuat kebaikan dan kebajikan serta mendamaikan antara dua orang atau dua pihak yang bergaduh.
Amalan selain daripada itu seperti melepak, mengumpat, bergurau senda berlebihan, memfitnah adalah perbuatan sia-sia yang dilarang Islam dan ia juga mengakibatkan dosa kepada pelaku serta orang yang bersubahat dengannya.
Malah, dia termasuk kalangan orang yang kerugian, sama ada di dunia dan akhirat sejajar firman Allah yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran (iktiqad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan) serta berpesan dengan sabar (dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya). (Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)
Selanjutnya, Islam melarang umatnya daripada perbuatan keji yang berpunca daripada lidah seperti mengumpat dan mengutuk. Malah, amalan itu tidak termasuk dalam adab susila kesopanan Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat Bazzar dan Hakim)
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Banyak nas suci membuktikan Islam melarang keras sebarang perbuatan keji yang terbit daripada lidah yang tidak bertulang. Natijah daripada perbuatan itu amat berbahaya bukan saja kepada individu, bahkan boleh membabitkan komuniti masyarakat keseluruhannya.
Sebab itulah, munculnya berbagai mazhab ilmu kalam yang berselisih pendapat dalam beberapa isu agama. Selain itu, ia memberi kesan secara tidak langsung kepada kekuatan kerukunan sesuatu bangsa dalam meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa bergolak dengan pelbagai krisis yang tiada penghujungnya.
Allah memerintahkan umat Islam supaya menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar supaya kita tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan mereka kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan